Tuesday, 12 October 2021

KALAU TIDAK SUKA, TINGGALKAN SAHAJA

 
Kalau sudah tidak suka, tinggalkan saja. Tidak perlu cerita perkara buruk tentang bekas parti pernah disertai. Kalau cerita yang buruk, maksudnya menceritakan buruk diri sendiri. Mengapa dulu terlalu sayangkan yang buruk itu?

Sudah banyak kali orang kecewa akan tinggalkan parti. Ada juga yang dibuang oleh parti. Mereka tubuh parti baru. Itu hak dan kebebasan dalam negara demokrasi.

Katalah apa yang ingin dikatakan. Parti baru itu bukan serpihan atau bukan kerana kecewa ia ditubuhkan. Itu pendapat dan keyakinan masing-masing.

Asalkan jangan duduk buat fitnah dan ganggu orang lain. Itu hak dalam negara demokrasi untuk mengatakan baik tentang diri sendiri. 

Sama ada parti politik baharu yang diwujudkan untuk mengisi kekosongan atau kepentingan peribadi, itu tidak penting. Tubuhlah sebanyak mana parti yang diingini. Kerajaan tidak sekat selagi ia memenuhi syarat yang ditetapkan.

Memang parti baharu mempunyai visi yang berlainan. Jika sama dengan yang dulu, tentu sekali tidak akan wujud parti baharu. 

Rakyat dan penyokong parti akan membuat penilaian. Rakyat tidak dikongkong atau dihalang daripada menyertai mana-mana parti. Rakyat sudah matang dan dapat membuat pilihan sendiri parti mana ingin disokong.

Namun, satu perkara diingatkan, jangan jual maruah bangsa, agama dan negara semata-mata untuk berkuasa. Perbautan itu adalah petualang dan musuh negara.

Buatlah apa saja yang difikirkan betul. Pada anda betul, tetapi pada pihak lain tidak betul. Itulah perbezaan pendapat. Beza pendapat jangan sampai wujud perpecahan hingga merugi agama bangsa.

Islam perlu kuat. Islam menyediakan cara hidup dan bernegara yang benar. Tetapi, jika kita hanya mementingkan diri dan kelompok, banyak perkara ditegah oleh agama dilakukan.

Islam suruh bersatu, tetapi mengapa perbalahan pula dilakukan. Islam menyuruh istiqamah, tetapi ramai yang mudah mengaku kalah dan kecewa.

Kalau gagal, jangan salahkan orang lain. Muhasabah diri dan fikirkan kembali untuk berjaya. Sekali kalah, bukan kalah selama-lamanya. Perjuangan yang benar perlu diteruskan. Jangan mudah kecewa dan merajuk.

Mengapa demi bekerjasama dengan bukan Islam, kita tinggalkan perjuangan bersama-sama rakan seagama. Mengapa kita lebih sayangkan sahabat berlainan agama berbanding saudara seagama. 

Mengapa kita lebih percaya dan tertarik dengan janji musuh berbanding kekal setia dengan sahabat yang telah lama banyak membantu.

Gambar papan peringatan di Pantai Cahaya Bulan agar menutup aurat. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment