Iklan
ialah pemberitahuan kepada orang ramai melalui surat khabar, televisyen, radio,
media sosial dan sebagaiya. Biasanya yang membuat iklan ialah peniaga untuk
memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang mereka sediakan atau tawarkan
kepada orang ramai.
Satu
aspek paling penting yang perlu diingat oleh orang ramai ialah jangan mudah
tertipu dengan iklan. Hal ini bukan bermaksud iklan sengaja membuat
penipuan, tetapi iklan pada hakikatnya sering membuat kita tertipu dan tersilap
membuat pilihan.
Sememangnya
semua jenis iklan akan menunjukkan sesuatu yang hebat dan menarik. Itu satu
ciri yang tidak terkecuali bagi semua iklan. Disebabkan terlalu asyik
dengan iklan yang menarik, ramai terdorong membeli atau melanggan sesuatu yang
sebenarnya tidak diperlukan.
Kerana
itu, aspek paling penting sebelum membuat keputusan membeli ialah apakah
keperluan atau kepentingan membeli barang yang yang ditawarkan
itu. Keputusan itu mestilah bebas daripada pengaruh iklan.
Pengguna
sepatutnya menggunakan iklan sebagai membuat pilihan mana yang lebih baik dan
sesuai dibeli, bukannya menentukan apa yang perlu dibeli.
Oleh
sebab itu pengguna boleh membuat pilihan tanpa mudah terpengaruh dengan iklan
yang hebat. Teliti dan periksa dahulu kebenarannya. Sesuatu yang diiklankan
mungkin hanya gimik dan sesuatu yang dilebih-lebihkan.
Tindakan
ini perlu dilakukan terutama jika ingin membeli barang yang mahal. Biar
kita lebih cerewet membuat pilihan asalkan kita mendapat pilihan terbaik.
Keputusan membeli dan mengguna perlu diutamakan agar tidak menanggung kerugian
akibat sikap mudah percaya kepada iklan.
Seringkali
pengguna akan berbelanja lebih semasa tawaran hebat. Sikap ini berpunca tidak
mahu melepaskan peluang itu. Potongan harga yang diberikan dalam peratusan
yang besar dan tawaran barang percuma dirasakan rugi jika tidak direbut.
Sepatutnya
pengguna perlu menilai sebarang tawaran dengan teliti. Hal ini demikian kerana
didapati kebanyakan barang yang diberi potongan harga istimewa keadaan
kualitinya tidak elok, barang stok lama, fesyen lama, barang cacat dan hampir
tamat tempoh.
Biasanya
barang jenama terkenal yang dikawal mutunya tidak akan diberi tawaran istimewa.
Jika ada tawaran potongan harga diberikan, ia hanya dalam peratusan kecil.
Bahkan kebanyakan barang berjenama tidak ada potongan langsung.
Dengan
kata lain, pengguna perlu berhati-hati apabila ingin merebut atau menerima
sesuatu tawaran yang didakwa istimewa. Ingatlah, apalah gunanya mendapat
potongan harga yang tinggi sendangkan kualiti barang amat rendah. Mungkin ia
boleh mendatangkan bahaya kepada penggunanya.
Renungkan
sejenak kata orang-orang tua, biar kalah membeli asalkan menang memakai. Kata-kata
itu menasihatkan kita agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran murah.
Justeru,
janganlah mudah terpengaruh dengan iklan. Jadilah seorang pengguna yang
bijak menilai sesuatu iklan. Gunakan iklan sebagai penduan membuat pilihan
dan mendapat maklumat mengenainya dan bukannya menjadi mangsa kepada iklan.
No comments:
Post a Comment