Monday, 30 December 2019

MASJID LONG TAN LOJING

Masjid Long Tan, Lojing merupakan masjid mukim pertama yang dibina di Lojing. Pembinaan masjid yang pada mulanya dinamakan Masjid Keputeraan Lojing menjadi penanda hasrat kerajaan Kelantan mendahulukan urusan agama dalam pentadbiran negeri.

Batu asas pembinaan Masjid Long Tan disempurnakan oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra pada 31 Julai 2010 bersempena pengiystiharan Lojing menjadi jajahan (daerah) kecil.

Kedudukan Masjid Long Tan hanya beberapa ratus meter dari sempadan negeri Kelantan Pahang mula digunakan pada November 2013. 

Masjid ini menjadi tumpuan mereka yang melalui kawasan tersebut sama ada dari Cameron Highlands atau sebaliknya.

Pengunjung dari Cameron Highlands akan disambut oleh pemandangan masjid yang terletak di atas bukit di sebelah kiri jalan. Pemandangan yang jelas dan keindahan masjid menggamit orang ramai untuk singgah di masjid berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang dan seterusnya.

Kawasan tempat letak kereta yang luas dan adanya kemudahan wakaf serta taman mini permainan untuk kanak-kanak menjadi ia amat selesa bagi musafir singgah untuk melunaskan tanggungjawab kepada Allah dan mengambil peluang untuk berehat seketika.

Dari kawasan masjid, pengunjung berpeluang melihat keindahan alam di kawasan Lojing yang kini semakin berkembang dengan aktiviti pertanian tanah tinggi.

Nama Masjid Long Tan adalah sempena nama raja pemerintah kawasan Kelantan Selatan iaitu Long Tan atau nama penuh baginda ialah Long Tan bin Long Yunus bin Long Sulaiman.

No comments:

Post a Comment