Friday, 20 December 2019

CINA KELANTAN MAKAN GUNA TANGAN

Kaum Cina Kelantan dianggap unik dan berbeza berbanding kaum Cina yang tinggal di negeri lain. Cara hidup mereka dan hubungan dengan kaum Melayu serta kaum-kaum lain agak akrab.

Masyarakat Cina telah wujud di Kelantan sejak abad ke-17 Masihi lagi dan kebanyakan mereka tinggal di sepanjang pinggir-pinggir sungai di Kelantan seperti kawasan Pulai Gua Musang, Kampung Pasir Parit Pasir Mas, Kemasin Bachok dan Sungai Pinang Tumpat.

Terdapat dua kategori Cina di Kelantan iaitu Cina Peranakan diberi gelaran Cina kampung, Cina Kelantan dan Oghe Cino Kito. Bagi Cina di bandar mereka dipanggil Cina bandar atau Cina Benua.

Cina Kampung tidak seperti kaum Cina di negeri-negeri lain kerana dialek komunikasi percakapan harian mereka dalam loghat Kelantan di samping bahasa Hokkien. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang dan tidak menampakkan mereka sebenarnya kaum Cina kerana perkahwinan campur dengan keturunan Thai.

Kadang-kala adalah susah untuk membezakan mereka sama ada dari segi muka atau bahasa kerana gaya hidup mereka boleh dikatakan lebuh kurang sama dengan orang Melayu. Contohnya dari segi jenis makanan dan cara makanan.

Orang Cina Kampung makan makanan sepertimana orang Melayu Kelantan. Mereka suka budu dan ulam-ulaman sebagai makanan hidangan. Mereka juga makan nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang. Mereka suka tapai ubi dan ketupat. Cara mereka makan menggunakan tangan.

Amalan yang dilakukan itu menjadikan orang Cina Kelantan dilihat seakan-akan sama dengan orang Melayu yang secara tidak langsung hubungan antara kedua-dua kaum itu amat akrab dan seperti tiada langsung ciri-ciri perbezaan kaum, melainkan dalam soal agama. 

No comments:

Post a Comment