Thursday, 24 April 2025

SMK PANGGUNG JAYA CIPTA KECEMERLANGAN LUAR BIASA HEBAT

 
Keputusan SPM 2024, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya cipta kecemerlangan luar biasa hebat. Kejayaan itu hasil lonjakan kejayaan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
 
Biarpun jika dibanding dengan sekolah-sekolah lain, kejayaan SMK Panggung Jaya masih kecil dan tidak perlu diheboh-hobohkan sangat. Namun, atas nama kejayaan berdasarkan status sekolah dan pencapaian sebelum ini, ia satu yang luar biasa.
 
Keputusan SPM 2022, pelajar paling cemerlang mendapat 4A hanya seorang, 3A seorang dan 2A seorang. Tahun 2023 ada sedikit peningkatan.
 
Keputusan SPM 2024, memberi kejutan yang cukup terkesan untuk dijadikan satu sejarah besar bagi sekolah tersebut. Keputusan itu mencatatkan ada pelajar mendapat 8A, 7A dan 5A. 

Menariknya, pelajar yang mendapat 8A, Nur Syafienaz binti Nazri, adalah anak Orang Asli suku Temiar, dari  Kampung Merlong, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis.
 
SMK Panggung Jaya adalah sekolah khas untuk pelajar Orang Asli Kelantan, dan ada juga pelajar kaum Melayu yang tinggal berhampiran sekolah yang terletak di Kampung Panggung Lalat, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.
 
Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 
 
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 
 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 
 
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Poa Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Brooke, Pos Hendrop, Pos Pasik, Pos Pulat, Pos Hau, Pos Blau dan Pos Kuala Betis. 
 
Tahniah kepada pelajar dan seluruh pentadbir serta guru di SMK Panggung Lalat yang diketuai pengetuanya Mohd Khairul Bhari bin Ismail.

Nur Syafienaz


Mohd Khairul Bhari bin Ismail