Monday, 1 June 2026

UMNO PERKUKUH SEMANGAT NASIONALISME MELAYU

 
Semangat nasionalisme Melayu sebelum tertubuhnya UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor, Johor Bahru agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang.

Di samping itu wujud penekanan oleh penjajah, kemungkinan masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.

Penubuhan UMNO sebagai tindak balas langsung terhadap penubuhan Malayan Union oleh British. Ia hasil daripada percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk kelangsungan kekuatan bangsa Melayu.

Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal kepada kawasan ini.

Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu yang dilahirkan melalui penubuhan UMNO.

Semangat nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara.

Di peringkat awal pergerakan ke arah kemerdekaan adalah disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara.

Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur.

Kemenangan telah diperoleh oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.

Pada tahun 1955, bagi menghadapi pilihanraya umum yang prakemerdekaan, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum.

Satu pilihan raya umum (PRU) telah diadakan pada 27 Julai 1955 yang dikenali pilihan raya prakemerdekaan. Dalam PRU ini, daripada 52 kawasan persekutuan, parti Perikatan memenangi 51 kerusi manakala satu kerusi dimenangi Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS).

Dengan kemenangan besar Perikatan yang dianggotai tiga parti mewakili tiga kaum utama, maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka. 

No comments:

Post a Comment