Sambutan Aidilfitri bermula sebaik
berakhirnya ibadat puasa Ramadan apabila telah kelihatan anak bulan Syawal. Perkara utama perlu dizahirkan bagai tanda bermula sambutan Aidilfitri
ialah melaungkan gema takbir.
Firman Allah bermaksud: “Dan
sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadan (29
atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang
diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).
Malam Aidilfitri adalah malam ibadat
yang menyediakan kelebihan tersendiri.
Berpandukan maksud sebuah hadis menjelaskan bahawa sesiapa beribadat
pada dua malam hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak
akan mati pada saat hati orang lain mati.
Pada pagi disunatkan mandi Aidilfitri
dan kemudian berhias diri dengan pakaian terbaik yang dimiliki, serta
mengenakan wangian.
Maksud pakaian terbaik bukan
semestinya baru dibeli atau dijahit seperti difahami di kalangan masyarakat
kita. Sebab itu semua orang mesti berpakaian baru dengan alasan itu tuntutan
agama. Malah bukan sepasang baju baru untuk dipakai pada pagi hari raya, tetapi
sampai empat lima pasang.
Sebelum turun ke rumah menuju ke
masjid atau tempat lapang untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri,
disunatkan juga agar menjamah sedikit makanan sebagai tanda tidak berpuasa. Pada hari Aidilfitri adalah diharamkan berpuasa.
Diriwayatkan Bukhari dan Ahmad,
daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad makan beberapa biji tamar sebelum keluar
pada pagi Aidilfitri dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil.”
Rasulullah ketika menuju ke masjid
menggunakan jalan lain dan ketika pulangnya pula melalui jalan lain. Melalui
jalan berbeza adalah bertujuan agar dapat bertemu dengan ramai jiran yang
tinggal di sepanjang jalan itu. Ketika bertemu disunatkan mengucapkan salam dan
tahniah.
Zakat fitrah wajib dikeluarkan
sebelum menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa mengeluarkan selepas daripada itu
adalah dianggap memberi sedekah.
Zakat fitrah atau dipanggil juga
zakat diri diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan mengeluarkannya
atas kadar segantang bahan makanan asasi atau mata wang yang senilai dengannya.
Orang miskin yang mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk dirinya dan
ahli keluarga pada hari raya wajib mengelurkan zakat fitrah.
Pada hari mulia ini masa yang paling
baik untuk bermaaf-maafan. Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang
jernih. Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup
yang sejahtera dan harmoni.
Sebenarnya sambutan hari raya hanya
pada 1 Syawal. Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa
sunat Syawal dan puasa-puasa sunat lain, termasuk puasa ganti.
Beraya sepanjang Syawal bukan
dianjurkan dalam Islam. Apa yang diamalkan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh
itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat. Sebab itu amat penting kita
memperbetulkan niat agar apa yang dilakukan termasuk dalam ibadat dan bukan
sekadar melaksanakan adat. Setiap
amalan bergantung kepada niatnya.
Mengadakan rumah terbuka dan amalan
ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan yang dapat merapatkan hubungan yang
renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan
masing-masing. Sesiapa menghadiri rumah terbuka hendaklah dengan perasaan
ikhlas, bukannya dengan harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah
kita pula.
Sambutan Aidilfitri hendaklah dibuat
secara sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira
keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian
kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.
No comments:
Post a Comment