Wednesday, 11 November 2026

TAIPING DESTINASI PELANCONGAN WARISAN

 

Bandar Taiping destinasi pelancongan warisan.

Bandar Taiping bermula sebagai sebuah pekan kecil bijih timah pada tahun 1877 hingga menjadi ibu negeri pertama Perak. Sekarang ia masih tetap unggul dengan ciri-ciri sejarahnya sehingga dikenali sebagai Bandar Warisan.

Di Taiping terdapat banyak perkara "pertama" dan terawal di Malaysia. Antara binaan yang pertama seumpamanya didirikan di Malaysia iaitu bangunan pentadbiran kerajaan (1881), pejabat pos dan telegraf (1877), stesen kereta api yang pertama (1884), Charted Bank (1888) dan Penjara Taiping (1879).

Bangunan awal lain ialah hospital awam (1880), Mess Pegawai British (1879), Masjid Melayu (1897), Muzium Perak (1883), padang golf (1885- yang pertama di Tanah Melayu), rumah rehat (1894), menara jam (1890 yang pertama di Tanah Melayu) serta lapangan terbang (1929) yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

Setiap bangunan warisan ini menjadikan Taiping bandar warisan yang sangat unik, malah signifikan lagi penting dalam sejarah awal perkembangan Malaysia kepada sebuah negara seperti hari ini.

Terletak kira-kira 265 kilometer dari Kuala Lumpur, Taiping dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh, adalah ibu negeri Perak sebelum 1937.

Taiping berasal daripada perkataan Cina yang bermaksud 'aman selama-lamanya.'

Ia dibangunkan apabila bijih timah ditemui pada 1840-an oleh pembesar Melayu bernama Che Long Jaafar.

Catatan dalam Jurnal pegawai Inggeris pertama di Taiping, Kapten Tristam Charles Sawyer Speedy menuliskan pada 1840-an tentang seorang pembesar Melayu bernama Che Long bin Jaafar. 

Catatan itu menceritakan, ketika mandi di sungai, Che Long terjumpa pasir yang bersinar yang dikenal pasti sebagai bijih timah.

Berikutan penemuan itu beliau mengambil 20 pekerja Cina dari Pulau Pinang untuk membuka lombong di Kalian Pao (Kelian Pauh, tempat terletaknya Penjara Taiping sekarang).

Taiping berada di lokasi strategik iaitu antara Pulau Pinang dan Ipoh yang senang dilawati.

Biarpun pesat membangun, Taiping menawarkan pakej alam semula jadi, air terjun, taman tasik, Bukit Larut, kelip-kelip, hutan paya, muzium, kampung tradisi, kraf tangan, makanan tradisi serta penginapan yang memberi keselesaan kepada pelancong.

Taiping terkenal sebagai kawasan pelombongan bijih timah utama di Perak pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 sehinggakan ia menjadi tumpuan pelbagai kaum dan kesan sejarah tersebut masih ada sehingga kini.