Sunday, 23 February 2025

MENYELAM MENCARI BARANG BUNDLE

 
Perkataan “bundle” adalah perkataan slanga atau bahasa pasar yang merujuk kepada barangan terpakai yang diikt, dibungkus atau dilonggokkan. Barang bundle biasanya diimport dari luar negara yang diletakkan di dalam bungkusan atau tongkol yang dibalut dengan guni atau plastik. 

Untuk menjimatkan ruang, barang yang sebelum dibungkus barang bundle akan dimampatkan. Jadi, ukuran bungkusan menjadi lebih kecil, tetapi jumlahnya banyak.
 
Tongkol yang baru dibuka menjadi tumpuan peminat bundle untuk mendapatkan barang yang berjenama dan berkuali dengan harga yang murah. Mereka perlu menyelak atau membalik-balik timbunan itu untuk mencari keseluruhan isi bundle itu.
 
Perbuatan itu dipanggil “menyelam” di kalangan peminat bundle. Tindakan itu seperti mereka berada di dalam timbunan bundle. Mereka sanggup “gali dan timbun” berulang kali sehingga menemui apa yang dianggap berharga dengan harga yang murah.
 
Namun, ada pemborong bundle yang tidak mengadakan acara “buka tongkol” kepada pelanggan, sebaliknya akan memilih dan mengkategorikan barang untuk dijual secara runcit atau borong. Keadaan barang yang dijual sudah dibasuh atau dibaiki keadaannya.
 
Harga barang bundle yang telah dikategorikan biasanya lebih mahal berbanding yang dipilih ketika buka tongkol. Bagaimanapun, harga barang bundle yang demikian masih dianggap murah berbanding dibeli di kedai biasa.
 
Membeli barang bundle yang telah dipilih dan kategorikan sebenarnya tidak menepati istilah asal menyelam ketika buka tongkol. Namun, perkataan menyelam tetap digunakan setiap kali melakukan pencarian barang bundle. Dengan kata lain, mencari bundle terus dianggap menyelam.biarpun di pasar malam yang barang itu telah disusun rapi dan mudah untuk dicari.
 
Pun begitu, peminat bundle yang menyelam akan memilih dengan teliti. Berpusing-pusing dan membelek-belek mencari apa yang diingini, terutama dari segi harga sehingga berjam-jam sudah menjadi perkara biasa.
 
Penjual sendiri tidak kisah selama mana pelanggan ingin menyelam di tempat mereka, kerana itu sudah menjadi sebahagian identiti menyelam atau aktiviti di kedai bundle.





No comments:

Post a Comment