Rasulullah SAW membandingkan hubungan mukmin dengan mukmin lain seperti batu-batu yang saling menguatkan satu sama lain membina sebuah bangunan.
Jika
ada mana-mana batu yang roboh, maka kekuatan bangunan itu akan tergugat. Maka, setiap batu perlu kekal sebagai
sebahagian daripada bangunan itu bagi mengelak keseluruhan bangunan roboh.
Tolong
menolong adalah sendi kekuatan hidup bermasyarakat. Golongan kaya dan berkemampuan hendaklah
sentiasa mengambil berat menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan
memerlukan bantuan.
Firman
Allah bermaksud: “Dan sentiasalah tolong menolong dalam kebaikan dan yang
mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa
serta permusuhan.” - (Surah al-Maidah, ayat 3).
Sesiapa
bersifat bongkak, sombong, mementingkan diri dan takbur dengan kedudukan yang
dicapai, maka bukanlah dia dari kalangan orang Islam. Allah melaknat mereka yang bersifat dengan
sifat-sifat tersebut.
Firman
Allah dalam surah Luqman, ayat 18 bermaksud: “Dan janganlah kamu palingkan
pipimu daripada manusia dan jangan berjalan di atas muka bumi dengan
bongkak. Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang yang sombong lagi bongkak.”
Sebarang
bantuan yang diberikan dengan ikhlas pasti diberikan balasan kebaikan di sisi
Allah. Rasulullah menjelaskan pada hari
dibangkitkan, Allah akan berseru kepada sesiapa yang ketika hayatnya sentiasa
menjalinkan perasaan kasih sayang dan saling membantu sesama sanak saudara,
jiran tetanga dan orang ramai.
Sabda
Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Allah berseru: “Di manakah
mereka yang berkasih sayang dengan kebenaran mengenai hari akhirat? Aku memberi perlindungan kepadanya dalam
keadaan tiada lagi perlindungan selain daripada perlindungan-Ku.”
Memahami
dan penghayatan konsep silaturahim yang dianjurkan oleh Islam perlu
dipertingkatkan bagi mengelak perpecahan dan seterusnya mencari keredaan
Allah.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Allah telah reda kepadamu terhadap tiga perkara iaitu
apabila kamu menyembah-Nya tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, apabila kamu
berpegang teguh dengan agama Allah dan tidak berpecah-belah dan apabila kamu
suka menasihati orang yang telah ditakdirkan menjadi pemimpin kamu.” - (Hadis
riwayat Muslim).
Perbalahan
sesama sendiri hanya memberi keburukan kedua-dua pihak. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Sebaliknya, pihak musuh pula mendapat
keuntungan di atas kemusnahan pihak bermusuhan.
Justeru,
cara menjaga agama yang terbaik ialah melalui perpaduan seluruh umat
Islam. Firman Allah SWT bermaksud:
“Tegakkanlah Din (agama) dan janganlah kamu berpecah-belah mengenainya.” -
(Surah asy-Syura, ayat 13).
No comments:
Post a Comment