Monday 2 January 2023

PANTAI BISIKAN BAYU, PASIR PUTEH

 
Nama Pantai Bisikan Bayu cukup terkenal di Kelantan, khususnya di kalangan penduduk jajahan Pasir Putih. Kawasan pantai peranginan yang juga dikenali Pantai Semerak dan Pantai Dalam Rhu sudah lama terkenal di Kelantan.
 
Pantai Bisikan Bayu terkenal dengan keindahan pantai dan suasana damai itu menjadi tumpuan pengunjung dari Kelantan dan Terengganu pada setiap hujung minggu dan cuti umum.
 
Pantai Bisikan Bayu merupakan satu produk pelancongan yang paling awal dibangunkan di Pasir Puteh. Lokasinya terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Pasir Puteh.
 
Manakala jarak Pantai Bisikan Bayu dengan sempadan Kelantan Terengganu adalah kira-kira dua kilometer dan empat kilometer dari pusat pekan Kuala Besut. Jarak dari Kota Bharu pula kira-kira 50 kilometer.
 
Di kawasan pantai ini terdapat sebuah resort yang cukup terkenal iaitu Tok Aman Bali Beach Resort.
 
Pantai Bisikan Bayu mendapat namanya dari bunyi angin laut yang lembut seakan berbisik apabila bergesek dengan dedaun pohon rhu yang pada masa dahulu menghiasi kawasan tepi pantai sungai berdekatan (kini sungai tersebut bertukar menjadi lagun).
 
Selain tertarik dengan kecantikan pantainya, Pantai Bisikan Bayu semakin terkenal di Kelantan kerana hasil pembangunan yang dibawa melalui Projek Kemasin Semerak yang telah banyak mengubah landskap di kawasan daerah Pasir Putih dan Bachok.
 
Kemudahan jalan raya, jambatan dan projek pembangunan lain turut menyokong aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.
 
Kemudahan jalan raya memudahkan pengunjung datang ke sesuatu tempat. Dahulu pengunjung ke Pantai Bisikan Bayu hanya boleh menggunakan jalan raya Pasir Putih - Kuala Besut yang agak sempit dan mengambil jarak jauh. 
 
Bagaimanapun, setelah jalan baharu Tok Bali - Kuala Besut siap dibina, pengunjung dapat menggunakan untuk ke Pantai Bisikan Bayu dengan lebih selesa.
 
Jalan raya Tok Bali - Kuala Besut kini telah menjadi laluan utama penduduk Kota Bharu dan Bachok yang hendak ke Besut dan daerah lain di Terengganu. Ini secara langsung juga menjadikan Pantai Bisikan Bayu semakin lekat di hati penduduk Kelantan dan Terengganu.
 
Tambahan pula, Pantai Bisikan Bayu semakin menarik dan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengunjung berbanding sebelumnya. Pembinaan jalan raya yang merentasi Sungai Semerak telah membentuk lagun yang menarik. Selain itu, tempat menarik lebih luas dan banyak pilihan.

No comments:

Post a Comment